Saturday, February 9, 2019

Talam Jagung Pandan Acuan Lompang

Assalamualaikum w.b.t

Pertama kali ummi cuba buat talam jagung ni memang tak menjadi walaupun ummi dah tiru resipi bulat-bulat. Entah mana silapnya, ummi redha jelah dan cuba buat lagi. Mungkin ummi silap dan terima hakikat yang ummi tak pandai buat kuih.

Rata-rata resipi yang ummi jumpa memang agak complicated resipinya. Bermacam-macam resipi ada tapi takde satu pun resipi yang ummi rasa mudah. Semuanya kena masak atas dapur baru kukus. Ummi memang tak cukup masa sebabnya waktu ummi sangat terhad. Kalau lambat sikit habis semua jadual jadi kacau bilau.

Penyudahnya ummi back to basis, guna resipi biasa sahaja. Resipi ni ummi olah sendiri dan rasanya seperti kehendak tekak ummi dan Mujahid. Tekak abi takyahlah, paling banyak pun seketul je abi makan 😂
Talam Jagung
Yang ni ummi buat khas untuk abi, duk nyebut kastad. Tapi ummi tak letak kastad pun
Kebiasaan orang suka ketulan jagung tu dalam talam. Tapi ummi yang mewakili selera budak, ummi blend aje kasi hancur. Jangan risau, rasa jagung tu tetap menyerlah dan menyengat-nyengat kejagungannya. Sodap!
Yang ni bagi jiran, tak terabis nak makan sendiri
TALAM JAGUNG ACUAN LOMPANG


(A) LAPISAN BAWAH (KUNING)

  • 1 tin jagung krim
  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 biji telur
  • 1 cawan gula
  • 1 sk garam
  • 1 cawan santan pekat (ummi guna kara)
  • 3 cawan air
  • Pewarna kuning
CARA-CARA
  1. Satukan semua bahan kedalam mangkuk dan kacau sebati.
  2. Kemudian, blender adunan sehingga jadi halus. 
  3. Tapiskan kedalam jug.
  4. Biarkan seketika dan buat adunan lapisan atas pula.
(B) LAPISAN ATAS (HIJAU)
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan santan pekat (ummi guna kara)
  • 2 cawan air
  • 4 sb gula
  • 1 sk garam
  • 1 sk esen pandan (ummi takde daun pandan)
  • Pewarna hijau
CARA-CARA
  1. Serupa juga caranya dengan lapisan atas.
  2. Satukan semua bahan dan kacau sampai takde ketulan.
  3. Lepas tu, kisar sampai hancur dan tapis adunan kedalam jug.
  4. Biarkan seketika dan mulai proses mengukus.
CARA MENGUKUS
  1. Panaskan air kukusan.
  2. Sementara itu, sapukan acuan lompang dengan minyak masak. Ummi pakai berus sahaja.
  3. Susun acuan lompang dalam kukusan.
  4. Bila air kukusan dan mendidih, masukkan acuan lompang tadi kedalam kukusan.Panaskan sekejap 1 minit.
  5. Kacau dulu adunan kuning sebelum dicurah ke dalam acuan lompang tadi. Curah 3/4 cawan lompang sahaja. Jangan penuh.
  6. Tutup kukusan dan kukus sebentar sehingga adunan mengeras. 
  7. Cakar permukaan lapisan kuning dengan garfu dan curah pula adunan hijau sehingga acuan lompang penuh.
  8. Kukus sampai masak.
  9. Sejukkan dahulu sampai suam-suam kuku baru keluarkan dari acuan. Jangan keluarkan masa tengah panas, nanti jadi tak cantik.
Proses penyejukan menggunakan kipas siling
TIPS : 
  • Selalu kacau adunan supaya tepung tak mendap ke bawah.
  • Bila kita mengukus, kena pastikan air penutup kukus tu di lap. Jangan sampai air menitis. 
  • Kalau guna loyang, tiap 10 minit buka pengukus untuk lap.
  • Kalau guna lompang, tiap kali buka penutup, mesti lap. Sebab lompang cepat sikit masak berbanding guna loyang.
Talam Jagung Pandan
Ummi rasalah kan, pakai acuan lompang ni lebih selamat berbanding guna loyang. Sebabnya lebih cepat siap dan tak perlu ambik masa lama untuk sejukkannya dan yang paling sure, tak perlu nak potong-potong. Ummi kalau bab memotong kuih muih ni dapat award kena pelangkung je banyak 😂
Bila dah susun macam ni macam kuih seri muka pulak
kiss the cook by makteh


No comments:

Post a Comment